Jumaat, 27 Mei 2011

ALIF, BA, TA, THA, JIM…


Pada satu pagi Jumaat, Ustaz Abdullah Mahmood, pendakwah tanah air menaiki teksi ke tempat kerjanya.  Dia duduk di kerusi belakang.  Entah macam mana pagi itu dia menyapa pakcik yang sudah dalam usia 60-an.

“Pakcik boleh baca Quran?”.  Terkejut si pemandu teksi itu.

“Nak, inilah pertama kali orang naik teksi tanya pakcik macam ni.”  Lelaki itu bersuara agak keras kerana terkejut.

Ustaz jadi serba salah, entah kenapa pagi itu soalan itu terpacul dari mulutnya.

“Sebenarnya pakcik, bila saya lihat belakang badan pakcik, iras macam arwah ayah saya.  Selalunya waktu-waktu pagi Jumaat macam ni ayah saya mengaji Quran.  Maaf ya pakcik.”  Lembut nada suara ustaz.

Sepanjang perjalanan mereka tak bercakap.  Masing-masing melayan fikiran.  Sampai di kawasan pejabat, ustaz membayar harga perjalanan dan menghulurkan kad nama.

“Bila-bila pakcik senang, jemput datang ke pejabat saya.”  Ustaz berjabat tangan dengan pakcik teksi.

Seminggu selepas pertemuan, pakcik teksi itu datang ke pejabat ustaz.  Syukur Ustaz Abdullah ada di pejabat.

“Boleh saya tahu siapa pakcik ni”, tanya Ustaz Abdullah ketika pakcik itu menghulurkan tangan padanya.

“Ustaz, ingat tak minggu lepas ustaz ada naik teksi pakcik.  Ustaz tanya pakcik tentang mengaji Quran.  Ustaz kata belakang saya macam belakang arwah ayah ustaz.”

“Oh, ya.  Maaflah pakcik, ramai sangat yang datang, saya tak cam.”  Ustaz Abdullah juga seorang guru Quran kepada murid-murid ‘tua’ yang ada kesedaran hendak belajar Quran.

“Apa boleh saya bantu pakcik?”  Tanya ustaz pada pakcik teksi yang sudah duduk di depannya.

“Begini, selepas ustaz tanya pada pakcik tentang mengaji Quran hari tu, pakcik terus balik rumah.  Seminggu pakcik tak bawa teksi, seminggu pakcik duduk di rumah.  Seminggu pakcik asyik memikirkan tentang diri pakcik.”

“Tentang apa?”



“Pakcik sebenarnya memang langsung tak pandai mengaji Quran.  Jadi pakcik datang ni nak belajar mengaji dari bawah.  Nak kena bawa Quran ke?”  Bergenang air mata pakcik sebak meluahkan perasaan yang telah seminggu terbuku di hati.

“Tak payah pakcik, di sini kami ada kitab.  Kita boleh belajar bersama,” kata Ustaz sambil membuka Muqaddam.

“Saya baca pakcik ikut, alif..,ba..,ta..,tha..,jim..”

“Alif, ba, ta, tha…”

Sampai huruf jim, pakcik terdiam lama.

Ustaz terkejut, takut-takut ada sesuatu yang tak kena.  Pakcik tunduk dan
menangis teresak-esak.

“Pakcik tak tahu baca Quran, pakcik tak tahu…” Ustaz dipeluknya erat.  Rasa bagai seorang ayah yang memeluk anaknya.  Dia terlalu sebak rupanya.

Sejak dari peristiwa itu, pagi-pagi lagi pakcik datang 15 minit belajar sebelum bawa teksi.  Dialah murid tua yang paling awal datang.  Setiap malam selepas solat Maghrib, dia akan menguncikan dirinya di dalam bilik membaca Muqaddam perlahan-lahan.  Perkara ini dirahsiakan dari isteri dan anak-anak.  Alhamdulillah selepas empat bulan, dia sudah boleh membaca Quran dengan baik.  Suatu malam isterinya yang sedang memasak di dapur terdengar suara orang mengaji dalam bilik, isteri suruh anaknya intai.

“Mak, ayah baca Quran,” bisik anaknya.

“Ayah kamu baca Quran?  Hish…mak tak percaya, ayah kamu mana reti baca Quran.  Mak kenal sangat dengan ayah kamu tu.”

“Betul mak…”

Api dapur ditutup.  Kedua-dua beranak ini menghendap perlahan-lahan masuk ke dalam bilik.  Alangkah terkejut suami apabila melihat isteri dan anaknya di belakangnya.  Isteri terus memeluk suaminya dengan linangan airmata keharuan.  Esoknya Ustaz Abdullah terkejut apabila melihat hidangan pulut kuning dan rendang terletak di atas meja pejabatnya.

“Ustaz, ada seorang makcik datang pagi-pagi lagi hantar pulut.  Dia kata dia isteri pakcik teksi tu.”  Beritahu seorang staf ustaz.

Beberapa hari kemudian, isteri pakcik itu datang lagi dan mengucapkan ribuan terima kasih di atas bimbingan ustaz.  Baginya inilah nikmat kehidupan sebenar yang sangat-sangat dirindui apabila suaminya sudah menjadi pengamal al-Quran.*

Tiada ulasan:

Catat Ulasan